Cuma ada sedikit pertanyaan, yang rasanya tidak kurang penting. Soalnya berkaitan dengan keadilan dan bagaimana keadilan itu dilaksanakan.

Sebagai contoh, jika ada peguam yang menghina seseorang hakim dengan mempertikaikan reputasinya dan kemudian terdapat prosiding menghina mahkamah, apakah hakim berkenaan juga yang akan mendengar kes tersebut?

Atau kes berkenaan akan dikendalikan oleh seorang hakim lain yang pastinya bagi memastikan keputusan yang dibuat kelak dilihat adil, bukan sahaja dilaksanakan.

Tidak pasti, tetapi ikut logik begitulah. Dalam kes-kes jenayah pun ada pemisahan di antara tugas penyiasat, pendakwa raya dan juga hakim. Prinsipnya tidak boleh orang yang sama bagi menjamin keadilan. Malah mahkamah juga sifatnya adversarial.

Namun dalam isu penggantungan Noh, keputusan dibuat Kor Ming sendiri yang sehari sebelum itu berlaku pertikaman lidah dengan wakil pembangkang ketika Timbalan Setiausaha Agung DAP itu mempengerusikan persidangan gara-gara isu kerjasama UMNO-Pas dan negara Taliban.

Dalam hal ini, tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff cukup tepat apabila meminta Noh memberi penjelasan dan kemudian menjelaskan kenapa hukuman ke atas wakil BN itu dikekalkan berdasarkan bukti-bukti yang ada.

Cuma alangkah lebih sesuai, dari awal tindakan ke atas Noh diserahkan kepada Mohamad Ariff untuk memutuskan sama ada wujud perbuatan mempertikaikan institusi speaker seperti dibangkitkan atau sebaliknya.

Ingat, untuk mencapai Parlimen berkelas dunia, tanggungjawab ini bukan sahaja terletak pada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tetapi semua termasuk institusi speaker yang antaranya tidak memihak.

Bagi memenuhi prinsip neutral itu, amalannya mereka yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat akan melepaskan segala jawatan dalam politik.

Maka jika boleh dicadangkan, yang dilantik timbalan speaker juga perlu pertimbangkan untuk tidak memegang jawatan kanan dalam parti. - UTUSAN ONLINE