Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fitnah ditaburkan pembangkang wajar ditangkis sepantas mungkin bagi mengelak ia melarat menjadi persepsi negatif yang sukar diperbetulkan.

Dalam masa sama kata beliau, seluruh jentera digesa supaya lebih agresif dalam mendedahkan pelbagai kelemahan pembangkang di negeri yang ditadbir mereka iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Pembangkang hidup dengan fitnah, selagi kita tidak menjawab tuduhan, dia akan timbulkan lagi banyak perkara.

“Mereka lebih suka kalau kita tidak menjawab dan akhirnya membentuk persepsi bahawa apa yang difitnahkan itu adalah satu kebenaran,” katanya selepas me­rasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO bahagian, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata, seluruh jentera UMNO yang merangkumi lebih 22,000 cawangan dan 191 bahagian juga tidak seharusnya membiarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersendirian menghadapi serangan pembangkang.

Beliau turut menyeru parti komponen memainkan peranan sama hebat dalam jentera di sesebuah kawasan walaupun tidak bertanding di situ.

“Kita mahu berkongsi kuasa jadi kita perlulah berkongsi kerja. Ada kawasan yang UMNO tidak bertanding, kita tetap berusaha bersungguh-sungguh membantu parti komponen. Itulah juga yang kita harapkan daripada parti komponen BN,” katanya.