Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ahli politik hanyalah kenderaan kepada rakyat dalam merealisasikan impian dan harapan mereka, namun jika kenderaan tersebut gagal berfungsi dengan baik rak­yat berhak menggantikannya.

“Kritikan itu biasa dan saya harap kritikan ini akan berterusan kepada kerajaan dan juga pembangkang kerana kritikan ini akan memastikan bahawa ada sistem semak imbang. (Bagi menjadikan) kerajaan sedia ada akan sentiasa takut kepada rakyat.

“Kalau jadi ahli politik tetapi tidak boleh ditegur, kita sebenar­nya tidak layak untuk berada dalam bidang ini. Sebagai ahli politik saya ini hanya kenderaan kepada rak­yat dan kenderaan ini boleh diubah pada bila-bila masa jika ia tidak lagi mewakili suara atau agenda rakyat,” katanya dalam segmen Sembang Online bersama Utusan Online di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berikrar untuk me­martabatkan anak muda de­ngan memastikan suara mereka dide­ngari di setiap lapisan pentadbiran negara.

Beliau menjelaskan, suara anak muda tidak boleh ditenggelamkan di dalam landskap politik negara kerana mereka adalah pencetus kepada revolusi di negara ini sehingga memberi ruang kepada kerajaan baharu mentadbir negara ini.

“Saya akan pastikan suara anak muda akan didengari dalam setiap lapisan pentadbiran negara, sebab itu saya hendak lihat banyak jawatan tertinggi negara dipegang oleh anak muda, bukan itu sahaja kita mahu pastikan ahli majlis, pegawai daerah, ketua kampung adalah anak muda.

“Jika kita lihat pada zaman kegemilangan UMNO dan BN pada 1980-an hingga 1990-an apabila mereka selalu menang majoriti dua pertiga, banyak pe­luang dan ruang diberikan kepada anak muda seperti Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Rais Yatim, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ramai lagi,” katanya.

Mengulas mengenai gosip cintanya dengan beberapa selebriti terkenal negara, Syed Saddiq menyifatkan mereka sebagai rakan dan tidak lebih daripada itu.

“Saya tidak boleh asingkan spekulasi daripada rakyat apabila saya memasuki bidang ini, tetapi saya tak mahu ke satu tahap (di mana) fokus utama saya iaitu politik ditenggelamkan,” katanya.