Bagi Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, BN wajar bertanding pada PRK tersebut walaupun persoalan sama ada mampukah parti itu boleh memenangi kerusi tersebut.

Katanya, tindakan itu adalah penting bagi membuktikan kepada rakyat bahawa BN akan terus konsisten berjuang dalam politik negara, sekali gus membawa perubahan baharu kepada negara.

“Saya rasa BN wajar dan patut bertanding pada PRK Sungai Kandis, tetapi dengan formula dan strategi baharu. Soal kalah dan menang adalah cerita lain.

“Lama-kelamaan, rakyat akan kembali kepada BN jika parti ini terus membuktikan konsisten dan komited walaupun tewas pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Semangat ini yang penting kerana ia bakal menonjolkan persepsi yang baik tentang BN.

“Kerajaan Pakatan Harapan pun ketika ini banyak membuat pusingan U, tidak mengotakan janji dalam manifesto mereka. Jadi, apa kata kita cuba menguji kekuatan BN di PRK DUN Sungai Kandis?,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekosongan DUN Sungai Kandis susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PKR yang diwakili oleh Mat Shuhaimi, BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Pertembungan tersebut menyaksikan Mat Shuhaimi memenangi kawasan tersebut dengan majoriti 12,480 undian.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, sebaliknya berpendapat, BN buat masa ini tidak wajar untuk bertanding, malah lebih baik menumpukan sahaja kepada proses memulihkan parti.

“Pada saya, keputusan parti untuk menghantar calon bertanding pada PRK Sungai Kandis adalah terlalu awal, dan lebih baik BN dan UMNO menumpukan pada proses pemulihan parti terlebih dahulu. Ditambah pula dengan akaun UMNO dibekukan, kita sudah tentu mempunyai masalah kewangan.

“Bagi saya, lebih baik kita menyokong parti lain untuk membantu, tidak perlu membazirkan wang perbelanjaan.

“Buat masa ini juga, kita biarkan rakyat menilai terlebih dahulu mengenai janji-janji yang ditaburkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sama ada sudah tertunai atau tidak. Biarkan rakyat sedar secara total dahulu dengan apa yang kerajaan hari ini lakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE