Namun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukan sahaja cuacanya yang panas malah suasana politik di negeri ini juga sama.

Malah sejak Mei lalu, Perlis mula menjadi tumpuan, bukan kerana perkembangan pembangunannya sebaliknya 'drama' dan isu-isu politik yang tidak pernah lekang.

Selepas disajikan dengan dengan kontroversi pelantikan Menteri Besar yang berlarutan lebih sebulan sebelum ini, Perlis kembali diperkatakan dan kali ini melibatkan kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terbaharu pada semalam, Wan Saiful Wan Jan digugurkan daripada jawatan Setiausaha Bersatu negeri. Beliau mendedahkan skandal melibatkan ratusan ribu ringgit membabitkan pemimpin parti itu di Perlis.

Sebelum itu, Perlis turut diperkatakan ekoran pemecatan 25 orang imam selain kes melibatkan Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa mencabul gadis bawah umur.

Persoalannya bilakah isu-isu politik ini hendak selesai apatah lagi ketika rakyatnya masih merintih khususnya penoreh getah, petani, peniaga dan ramai lagi yang memerlukan perhatian.

Jujurnya, rakyat sudah mula muak dengan isu-isu politik yang tidak pernah selesai ini, tidak kiralah mana-mana parti sekali pun.

Sepatutnya, biarlah orang luar membuka mata terhadap negeri ini dengan melihat pembangunan dan kejayaan, bukannya menjadi terkenal dan disebut-sebut kerana kontroversi.

Teringat kisah seorang penoreh getah di Kampung Katong, Arau yang kesempitan hidup sehingga tidak mampu membeli baju sekolah anaknya seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sepatutnya sudah tiba masanya kita berlumba-lumba membantu golongan seperti ini untuk keluar daripada zon kesusahan, bukannya hanya dengan berpolitik 24 jam. - UTUSAN ONLINE