Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana beliau percaya jika perasaan cinta terhadap alam semula jadi dipupuk pada usia muda, generasi akan datang sudah pasti dapat membantu melindungi alam sekitar.

“Sekiranya boleh, saya berharap kerajaan akan memperkenalkan subjek pendidikan alam sekitar dari peringkat tadika sehingga ke peringkat pengajian tinggi kerana kita perlu memastikan bahawa ia betul-betul difahami dan dijadikan budaya dalam kalangan generasi muda kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, katanya, semua pihak perlu menyokong langkah-langkah yang dicadangkan di bawah Belanjawan 2019 untuk melindungi alam sekitar termasuk menyenaraikan Taman Negeri Royal Belum sebagai tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan memperuntukkan RM2 bilion bagi menggalakkan pelaburan dalam industri teknologi hijau. - UTUSAN ONLINE