Timbalan Presidennya, Datuk Sirajudin Mohd. Salleh berkata, walaupun kerajaan me­nolak cadangan pelaksanaan UEC, namun pihaknya yakin sijil peperiksaan itu akan dijadikan sebagai alat untuk meraih undi ketika pilihan raya umum nanti.

“Sehingga kini masih ada pihak yang berusaha mempertahankan UEC termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

“Perkasa bimbang jika ada pihak cuba menggunakan UEC sebagai syarat untuk memberikan undian, mungkin mereka bersetuju untuk mengundi sekiranya permintaan itu dipersetujui,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendesak kerajaan mengiktiraf UEC, namun kerajaan menolak permintaan tersebut.

Pada masa sama terdapat juga parti politik memberikan jaminan untuk bersetuju dengan tuntutan tersebut sekiranya menang dalam PRU-14 nanti.

Sirajudin menjelaskan, pihak­nya berharap agar kerajaan terus mempertahankan keputusan me­reka dan menolak pelaksanaan UEC walaupun mendapat pelbagai tekanan khususnya daripada Dong Zong.

“Perkasa memberi amaran kepada semua parti politik dan NGO khususnya Dong Zong agar mereka menghentikan segala usaha untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.

“Jangan bermain dengan api kerana apa yang mereka cuba lakukan bakal memberi kesan yang amat buruk terhadap perpaduan dan mencabar kepen­tingan serta kedaulatan negara,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu mengambil kira soal perlembagaan, undang-undang, kepentingan dan kedaulatan negara sebelum membuat sesuatu keputusan walaupun didesak oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.