Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, pihaknya membantah tindakan MIC menerusi Bendahari Agungnya, Datuk Seri S. Vell Paari yang menggesa penangkapan dan pengusiran Zakir ekoran permintaan kerajaan India terhadap pendakwah tersohor itu, selain mengaitkannya dengan ke­giatan kumpulan militan.

Katanya, sebagai seorang yang waras, Vell Paari tidak patut mem­­persoalkan perkara itu kerana kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberikan status Penduduk Tetap (PR) kepada pendakwah tersebut sejak lima tahun lalu.

“Perkasa memberi amaran dan membantah sekeras-kerasnya se­­ba­rang usaha yang dilakukan oleh MIC, Tamilar Kural, Hindraf dan pihak yang bersekongkol den­gan mereka untuk mengganggu hak dan keistimewaan yang diperoleh Zakir.

“Sudah tentu terdapat per­ki­raan dan penilaian tertentu yang dipertimbangkan oleh pihak KDN­ sebelum memberikan status tersebut kepada beliau. Kerajaan telah mengiktiraf sumbangan Zakir kepada perkembangan Islam di Malaysia dengan memberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 2013,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Vell­ Paari kelmarin yang menggesa penangkapan dan pengusiran Zakir berikutan permintaan kerajaan India dengan Notis Merah Interpol terhadap pendakwah antarabangsa itu.

Kata Amini Amir, Perkasa percaya Zakir dituduh sedemikian atas dasar iri hati kerana berjaya dalam menyebarkan dakwah islamiah dengan berkesan.

“Sikap biadap Vell Paari boleh membawa padah kepada MIC. Perkasa akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Vell Paari dan MIC,” katanya.

Beliau juga berkata, tuduhan oleh Vell Paari terhadap Zakir boleh dianggap menghina Yang di-Pertuan Agong kerana pada 2013, pendakwah itu telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah yang dikurniakan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah kerana sumbangannya kepada pembangunan Islam.

“Anugerah ini adalah anugerah yang paling berprestij dalam dunia Islam yang setaraf dengan Hadiah Nobel. Sebab itu tuduhan oleh Vell Paari terhadap Zakir boleh dianggap menghina Yang di-Pertuan Agong,” katanya.