Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini tidak datang bergolek, sebaliknya menerusi pengorbanan dan perjuangan pemimpin UMNO demi kepen­tingan rakyat.

“Semangat dan iltizam pe­mimpin terdahulu hingga kini berjaya membentuk Malaysia seperti hari ini. Mereka berjaya mentransformasikan negara mengikut acuan sendiri dan sentiasa berpandangan jauh.

“Malah, UMNO memayungi semua rakyat tanpa mengambil kira perbezaan kaum mahupun agama dan perkara ini terbukti dengan nikmat keamanan dan kemajuan negara yang dikongsi secara bersama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pimpinan UMNO pada masa kini terus mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam menerajui pucuk pemerintahan negara.

“Kestabilan politik dan ke­amanan yang dikecapi oleh negara kita hari ini adalah atas perjuangan dan kebijaksanaan pemimpin. Misalnya, TN50 yang memberi peluang kepada ge­nerasi muda masa kini bersuara untuk membentuk sebuah negara mengikut keperluan dan kehendak rakyat.

“Justeru itu, kita mahu UMNO melahirkan lebih ramai pelapis muda, bagi memastikan keunggulan dan kecemerlangan parti berterusan pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’ammar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, UMNO adalah sebuah parti yang memelihara kesucian agama Islam tanpa mengetepikan kepentingan atau hak bangsa lain.

“Pemimpinnya meletakkan Islam pada tempatnya tanpa menafikan hak bukan Islam dalam mengamalkan kebebasan beragama sekali gus memberikan keamanan dan keharmonian negara.

“Ini dapat dilihat menerusi persekitaran kita, terdapat pelbagai rumah ibadat seperti gereja, masjid dan kuil yang jelas mempamerkan sifat toleransi yang dimiliki UMNO dalam menerajui pimpinan negara kita,” katanya.