Tegas Perdana Menteri berkata, kesetiaan dan keteguhan kepada prinsip perlu ada supaya akan terus dihormati walaupun seseorang pemimpin itu sudah tidak bersama-sama dalam parti.

“Kita ambil ikhtibar pejuang-pejuang dahulu kalau kita nak sebut pasal prinsip. Manusia kalau tidak ada jawatan, orang akan hormat kita kerana prinsip perjuangan, ada prinsip.

“Contohnya Allahyarham Datuk Onn Jaafar ada prinsip, apabila cadangannya tidak diterima, dia keluar parti dan letak jawatan. Tetapi apabila letak jawatan dia tidak bersekongkol dengan musuh UMNO dan tidak juga mahu kuburkan UMNO.

“Dia tubuh parti lain tetapi tidak bersekongkol dengan musuh orang Melayu dan musuh orang Islam. Ini tidak seperti yang berlaku pada sesetengah bekas pemimpin UMNO, ini dilihat tidak ada prinsip dalam tu (dalam perjuangan),” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru di Hotel Holiday Villa di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad. - UTUSAN ONLINE