Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun perwakilan memperlihatkan bahawa mereka jelas dan faham dengan intipati ucapan tersebut, perlu diakui hakikat terdapat kepelbagaian tafsiran dalam kalangan ahlinya.

''Tanggungjawab memberi tafsiran sebenar itu tidak boleh diletakkan di bahu Presiden UMNO semata-mata tetapi kepemimpinan parti secara keseluruhan termasuk di peringkat negeri, bahagian dan akar umbi harus mengetahui maksud tersirat dalam ucapan tersebut.

''Penjelasan perlu dilakukan secara berulang kali supaya persepsi yang mengatasi realiti dijawab,'' katanya dalam sidang akhbar bersama seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas ucapan dasar berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, sebelum penjelasan dibuat, pembersihan atau pembetulan terhadap masalah yang timbul di peringkat kepemimpinan mesti dilakukan agar usaha mengukuhkan parti berjalan lancar.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut meminta semua ahli UMNO menghormati keputusan pucuk kepemimpinan parti itu bahawa hanya Najib akan membuat ucapan penggulungan di akhir Perhimpunan Agung UMNO Sabtu ini.

Menurut beliau, keputusan itu bukan dibuat secara peribadi tetapi berasaskan persetujuan bersama ahli Majlis Tertinggi (MT) parti berkenaan.

‘’Apa diputuskan oleh MT sebelum ini dan malam tadi harus dihormati kerana ia adalah konsensus kepada pendapat pemimpin UMNO di peringkat tertinggi,’’ katanya.

Ditanya keputusan itu dilihat memecahkan tradisi Perhimpunan Agung UMNO, Ahmad Zahid berkata, ia hanya satu konvensyen dan tidak termaktub dalam perlembagaan parti.

Jika mahu bercakap tentang tradisi, soal beliau, bagaimana dengan tindakan pemimpin UMNO tertentu yang mengadakan perhimpunan di luar Perhimpunan Agung UMNO.

“Tradisinya mesti ada perbincangan dalam perhimpunan. Semua itu dibuat untuk berada di luar tradisi, kemudian mempertikaikan soal tradisi itu semula. Saya fikir ia tidak adil untuk Presiden dalam hal ini,’’ ujar beliau.

Pada sidang akhbar sama, beliau berkata, UMNO terbuka untuk menjalinkan hubungan dengan semua pihak termasuk Pas dalam bentuk tahaluf siyasi demi kepen­tingan ummah secara keseluruhan.

Bagaimanapun, katanya, itu bukan satu gambaran bahawa UMNO enggan bekerjasama dengan pihak lain sebaliknya hubungan dengan pihak terbabit akan dipertahan dan diteruskan.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan harapan supaya kesediaan itu disambut baik oleh Pas se­perti mana diharapkan oleh banyak pihak.

“Saya fikir usaha ini tidak akan berjaya dengan hanya bertepuk sebelah pihak sahaja. Apa pun usaha ini hendaklah di jalan dan dite­ruskan,’’ tegasnya.

``Saya cukup yakin melalui usaha ini kita akan dapat jalinkan persefahaman dalam usaha mewujudkan kebersamaan,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas Ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini