Namun apa yang berlaku di Malaysia beberapa tahun ke­be­la­kangan ini rasanya lebih ajaib daripada keputusan rakyat AS memilih Donald Trump sebagai Presiden.

Masakan tidak, dinamisme po­litik negara kita dalam tempoh ini cukup pantas. Pantasnya perubahan itu barangkali mengalahkan teknologi telefon pintar, apatah lagi enjin kereta.

Yang tidak pernah disangka berlaku, boleh terjadi. Cukup luar biasa apabila DAP dan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjalin hubungan politik. Ibarat minyak dan air boleh bercampur.

Tetapi itu masih belum menan­dingi ‘drama’ Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr. Mahathir kembali bersatu. Kisah mentor dan anak didik ini memang pelik bin ajaib. Sebab itu, bagi manusia yang punya pendirian, ini sesuatu yang sukar diterima akal seperti mana dirasai kebanyakan penggerak reformasi.

Namun walau bagaimana pahit sekalipun, mereka yang maki hamun berbakul-bakul kepada bekas Perdana Menteri itu ke­rana memecat Anwar dua dekad lalu, kini terpaksa menelan kembali.

Bak kata pendekar Mustar dalam filem Pendekar Bujang Lapok, ini bukan cubaan tetapi realiti. Selepas ini entah apa akan dilakukan dalam keghairahan mencari kuasa. Malah cerita me­ngundang kuasa asing sudah lama kedengaran.

Justeru, apabila Sultan Pe­rak, Sultan Nazrin Shah bertitah raja-raja Melayu berada dalam kedudukan terbaik untuk melin­dungi kepentingan rakyat daripada “hempasan ombak pe­re­butan kuasa” yang dilihat se­ma­kin meretakkan perpaduan - sesuatu yang amat dinanti-nantikan.

Jelas, baginda memang ber­pan­dangan jauh, melihat bagaimana senario politik Malaysia ketika ini benar-benar menterjemahkan seni serba kemungkinan yang cukup meresahkan.

Untungnya Malaysia, kita ada institusi raja yang bukan bersifat istiadat atau ceremonial semata-mata. Seperti titah, Sultan Nazrin, raja-raja Melayu berada dalam sebaik-baik kedudukan untuk melindungi kepentingan rakyat kerana tanggungjawab ins­titusi raja memastikan semangat perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan warga sentiasa dilindungi.

Ini sekali gus memberi peringatan kepada kepemimpinan politik supaya sedar dalam mencari kuasa, mereka ada batasannya.