Perhimpunan itu akan dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan melahirkan rasa syukur kerana kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Namun bagi Ismail Sabri, isu-isu lain yang turut membimbangkan rakyat dan orang Melayu sukar dihalang untuk dibangkitkan dalam perhimpunan sebegitu.

“Isu-isu rakyat mungkin disentuh kerana ada yang menderita akibat kejatuhan harga sawit dan getah serta harga barang yang tidak menurun. Rakyat mahukan pembelaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini sewaktu melawat rumah anak yatim Raudhatul Al-Faeez di Gombak yang terbakar pada 23 November lalu.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, sekiranya perhimpunan itu mendapat kelulusan pihak berkuasa, ahli-ahli partinya di Selangor sedia memberi sokongan penuh dengan menyertai perhimpunan tersebut. - UTUSAN ONLINE