Walaupun perhimpunan itu me­nyasarkan kehadiran 100,000 orang kerana dihadiri oleh pemimpin-pemimpin utama pakatan tersebut termasuklah Pengerusinya, Tun Dr.Mahathir Mohamad, namun ia belum mampu menarik orang ramai.

Ia memandangkan sejak awal lagi perhimpunan itu tiada bezanya dengan strategi alih isu yang digunakan oleh Pakatan Harapan setiap kali mereka berhadapan dengan masalah dalaman. Sebelum ini pakatan tersebut menjadikan perhimpunan haram Bersih sebagai platform untuk tujuan tersebut.

Tambahan pula perhimpunan yang bermula pada pukul 4 petang itu dan cuba dijadikan pentas untuk memburuk-burukkan kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebaliknya dilihat hanya menampilkan pemimpin-pemimpin yang dianggap mempunyai masalah tersendiri.

Dr. Mahathir sebelum ini berhadapan dengan isu kekayaan luar biasa anak-anaknya, Lim Guan Eng yang kini menghadapi kes rasuah dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih 'diselimuti’ dengan isu pesta arak di Selangor.

Jumlah kehadiran yang jauh dari sasaran itu juga sekali lagi membuktikan parti-parti dalam pakatan tersebut termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN gagal menarik sokongan orang Melayu untuk bersekongkol me­laksanakan agenda politik pakatan tersebut yang dirancang oleh DAP.

Perhimpunan haram yang tidak mendapat permit polis itu bermula dengan karnival dan ucapan pe­mimpin-pemimpin muda parti-parti dalam pakatan berkenaan.

Ia diikuti dengan ucapan oleh pemimpin utama termasuklah Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Dr. Mahathir, Guan Eng, Kit Siang dan beberapa pemimpin lain.

Seperti biasa ucapan mereka tertumpu kepada usaha meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menggesa supaya rakyat menumbangkan parti tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Lebih menyedihkan apabila majoriti penyokong yang hadir dalam perhimpunan haram itu terdiri daripada mereka yang berusia berbanding generasi muda.

Malah, ucapan pemimpin-pe­mimpin muda seperti Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad serta Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman langsung tidak menerima sebarang sambutan.

Pada sebelah petang, keadaan cuaca yang panas dengan rumput berlecak menyebabkan kebanyakan yang hadir dalam perhimpunan haram itu berusaha mencari kawasan redup seperti di sekitar bangunan Kelab Sukan dan Rekreasi Petaling Jaya serta bawah pokok.

Pada awal majlis, ketiadaan bendera PKR di sekitar padang menimbulkan tanda tanya dalam kala­ngan peserta yang menunjukkan jentera parti-parti pembangkang itu masih mempunyai masalah komunikasi yang jelas.

Selain itu, aktiviti kutipan derma secara terbuka, tidak menyediakan kemudahan asas seperti bilik air dan ruang solat yang selesa menjadi amalan biasa penganjur pembangkang dari dahulu apabila menganjurkan sebarang program.