Ucapan Najib, yang juga Perdana Menteri, pastinya dinanti-nantikan bukan sahaja oleh 2,654 perwakilan dari 191 Bahagian UMNO, malah oleh anggota parti di seluruh negara.

Buat julung kali, pentas Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan menyaksikan hanya presiden parti berucap pada sesi penggulungan, berbanding sebelum ini, timbalan presiden serta tiga naib presiden turut berbuat demikian.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO pada Rabu.

Sebanyak 11 pembahas akan meneruskan perbahasan usul ekonomi bermula 8.30 pagi ini, selepas tiga orang berbuat demikian semalam.

Ia kemudian, diikuti dengan pembentangan usul agama dan pendidikan yang dijangka dibahaskan oleh 14 wakil negeri-negeri, termasuk pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri.

Pada Jumaat, usul ucapan dasar presiden diluluskan sebulat suara setelah 15 pembahas membentangkan hujah masing-masing sejak Khamis, selepas perasmian oleh Najib. - BERNAMA