Hanya berselang dua hari selepas Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim menggelar Mohamed Azmin sebagai Joker dan tidak layak menjadi Menteri Besar, kini Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu pula me­nganggap Timbalan Presiden PKR itu tidak layak menjadi Pengerusi Pakatan Harapan Selangor.

Kritikan terbuka Ronnie yang juga bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berikutan rasa tidak senangnya dengan kemelut politik yang menyaksikan perbalahan antara Mohamed Azmin dengan PAN berhubung isu pembahagian kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Amanah (PAN) yang tidak amanah? Amanah yang menipu? Tolonglah Menteri Besar, jangan fikir kami semua (termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad) bodoh dan hanya kamu seorang yang bijak dan baik dalam politik.

“Sekarang semua orang dalam Pakatan Harapan tahu siapa kamu. Bagi saya, kamu sudah gagal teruk. Kamu tidak layak jadi pengerusi negeri kami,” kata Ronnie sebagaimana dipetik dari laman Facebook miliknya semalam.

Perbalahan antara PKR dan rakan pakatannya di Selangor tercetus apabila PAN mendesak Mohamed Azmin supaya segera memuktamadkan perbincangan mengenai pembahagian kerusi DUN yang sehingga kini tertangguh tetapi desakan itu tidak disenangi Menteri Besar tersebut yang kemudiannya menuduh PAN tidak amanah.

Tuduhan Mohamed Azmin tersebut bagaimanapun segera dibalas Izham dengan menyifatkan beliau sebagai Joker dan bermula daripada itu, pemimpin PAN, DAP serta PKR saling berbalas kenyataan dan menyerang antara satu sama lain.