Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin 

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, kebiasaannya aksi dan cara sebegitu hanya dapat dilihat dalam masyarakat yang rendah peradaban dan tamadun.

Insiden berkenaan menyebabkan Dr. Mohd. Asri  mempersoalkan kualiti pemimpin yang hendak dipilih oleh ahli akar umbi parti berkenaan.

"Malangnya dalam negara Malaysia yang terkenal dengan kesantunan terjadi hal seperti itu. Ternyata, kuasa telah menjadikan manusia hilang nilai dan akal yang waras. 

"Apakah kualiti pemimpin yang hendak mereka pilih jika demikian keadaannya?" kata Dr. Mohd. Asri dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 

Dr. Mohd. Asri bagaimanapun tidak menyebut nama sebarang parti politik dalam hantaran tersebut namun semalam calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan 'diserang' oleh seorang individu ketika proses pemilihan parti di daerah Keningau, Sabah berlangsung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suasana pemilihan yang berlangsung di dalam sebuah dewan masyarakat di sebuah kampung di daerah berkenaan bertukar kecoh.

Laporan media menyebut, Rafizi berkata, dalam kejadian berkenaan dia dikelilingi sekumpulan orang dan seseorang bertindak memukul di bahagian kepalanya namun kejadian itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan terhadap beliau.

Video dan foto insiden berkenaan menjadi tular di laman Facebook sejak jam 5 petang semalam.-UTUSAN ONLINE