Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, proses melantik Perdana Menteri merupakan satu perkara yang ditetapkan dalam perkara 43, Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara 43 menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam perjalanan fungsinya.

"Mengikut Perkara 43, Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

"Perkara 40 fasal 2 pula memperuntukkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri, tanpa perlu bertindak mengikut nasihat mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin lagi, berdasarkan peruntukan-peruntukan berikut, adalah jelas selepas PRU-14, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan hak istimewa baginda melantik seorang daripada 222 Ahli Parlimen menjadi Perdana Menteri.

"Adalah menjadi amalan di Malaysia, Perdana Menteri akan dilantik dari kalangan pemimpin parti yang mendapat majoriti kerusi di Parlimen.

"Namun begitu, jika berlaku sesuatu keadaan yang mana tidak ada parti memperoleh majoriti atau bilangan kerusi diperoleh gagal membentuk kerajaan, Pas berpandangan baginda akan menggunakan prerogatif baginda untuk memilih Perdana Menteri.

"Walauapapun keadaannya, Pas berpandangan Perdana Menteri 'locum' bukanlah amalan baik dan tidak mencerminkan kerajaan dipimpinnya itu sebuah kerajaan yang stabil dan kuat," katanya. - UTUSAN ONLINE