Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara tersebut disampaikan oleh beliau yang juga Perdana Menteri dalam satu pertemuan bersama semua penyandang kerusi Parlimen daripada parti komponen BN di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

"Perdana Menteri sentuh mengenai semangat setia kawan, wala' dan kekeluargaan untuk menang dalam PRU-14.

"Kami sebagai ahli keluarga BN akan tetap berpegang kepada prinsip wala'," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semua yang hadir dalam pertemuan tersebut berpuas hati dengan amanat yang diberikan oleh Perdana Menteri.

"Ini merupakan pendekatan baharu yang dilakukan oleh Perdana Menteri, dalam pertemuan itu beliau memberi tahu ada yang akan naik (dicalonkan) dan turun," katanya.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan berkata, ucapan yang disampaikan oleh Perdana Menteri sangat menyakinkan dalam menanam semangat BN.

"Amanat yang beliau sampaikan ialah untuk menjaga parti dan BN, sama ada menjadi calon atau tidak kita perlu tetap bersama BN," katanya. - UTUSAN ONLINE