Perdana Menteri berkata, ia jelas sekali satu pembohongan besar yang disedari sendiri oleh ahli politik yang membuat dakwaan tersebut dengan turut menyatakan ia dilaksanakan semata-mata untuk meraih lebih banyak pendapatan untuk kerajaan.

“1MDB sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan perjanjian kuasa berat sebelah yang telah ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin. Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia adalah pembida terendah dalam semua perjanjiannya, dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam 20 tahun akan datang. Malah, satu laporan firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak semula ini, diberi tajuk ‘Tiada lagi perjanjian pilih kasih’.

“1MDB juga telah membiayai pembinaan dan penambahbaikan lapan pangkalan tentera yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan pada masa dahulu. Ia juga telah membiayai beribu-ribu biasiswa dan perjalanan haji untuk para jemaah. Memang benar bahawa 1MDB mempunyai masalahnya, dan kita telah mengambil tindakan merombak pengurusan untuk membetulkan kesilapan dan mengembalikannya kepada keadaan kewangan yang sihat,” katanya dalam blog beliau, najibrazak.com, hari ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, apabila perjanjian projek Bandar Malaysia ditandatangani, 1MDB dijangka akan membuat keuntungan lebih daripada cukup untuk menanggung kerugiannya, sekali gus akan menguburkan segala pembohongan bahawa rakyat perlu menanggung akibat daripada keputusan 1MDB.

Perdana Menteri turut menempelak seorang bekas pemimpin baru-baru ini yang menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai penyalahgunaan dana kerajaan dan kenyataan sedemikian amat kejam untuk sesiapa sahaja dalam pembangkang bercakap mengenai penghapusan satu program yang direka khusus untuk membantu mengurangkan beban berjuta-juta rakyat.

Sedangkan, kata beliau, semua tindakan yang dilakukan adalah untuk kebaikan rakyat termasuk melaksanakan banyak keputusan yang sukar walaupun tidak selalunya popular seperti merasionalisasi subsidi yang tidak tersasar.

“Subsidi pukal pada pelbagai barangan seperti petrol yang telah dimulakan pada zaman seorang bekas pemimpin terdahulu, telah melonjak menjadi kadar yang tidak mampan. Pada 2012 misalnya, subsidi bahan api sahaja mencapai RM25 bilion dan menelan 13.6 peratus daripada jumlah belanjawan negara. Kebanyakan yang mendapat faedah adalah golongan yang berada dan bukan mereka yang betul-betul memerlukannya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, banyak lagi langkah-langkah lebih spesifik telah diambil kerajaan untuk memperbaiki standard dan membantu rakyat termasuk memberikan lebih fokus kepada projek pengangkutan awam yang telah diabaikan oleh salah seorang pe­mimpin terdahulu.

Beliau berkata, pemimpin berkenaan telah membazirkan berbilion-bilion ringgit dalam projek ‘megah diri’ (vanity) dan bukannya membina infrastruktur kelas dunia yang diperlukan oleh Malaysia untuk menarik pelabur mahupun untuk kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, tumpuan pembangunan kerajaan kini bukan sekadar di Lembah Klang atau pantai barat sahaja tetapi turut menumpukan kawasan-kawasan lain di negara ini yang telah diabaikan terlalu lama demi memastikan pembangunan lebih adil, inklusif dan meningkatkan semua sektor penduduk termasuk negeri yang dipegang oleh pembangkang.

Dalam kes Pulau Pinang, katanya, pakej penstrukturan semula air pada tahun 2010 melibatkan bantuan kepada kerajaan negeri bagi mengurangkan hutang mereka sebanyak RM655 juta, sambil memberikan geran tambahan RM1.2 bilion untuk membesarkan lagi empangan, sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri DAP bermegah bahawa kononnya mereka telah mengurangkan hutang negeri mereka sebanyak 95 peratus sedangkan ia sebenarnya disebabkan oleh usaha Kerajaan Persekutuan.