“Anda bukan Perdana Menteri. Apa yang membuatkan anda berfikir dengan cuba melobi mempunyai Menteri Besar yang akan menjadi boneka anda, anda boleh mengawal Johor?

“Anda melobi salah seorang daripada Exco kami untuk menjadi MB (Menteri Besar). Kami tahu itu. Ini bukan lagi tahun 1992. Negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah,” tulisnya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin mendesak Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menjelaskan mengenai pertukaran status Pulau Kukup dan jika gagal memberikan penjelasan, adalah lebih baik beliau letak jawatan.

A. Kadir yang terkenal dengan sikap kritikalnya kepada golongan raja-raja turut memberitahu, kebimbangan beliau terhadap pengambilan tanah negeri oleh Istana Johor telah disuarakan sebelum ini tetapi Osman menegaskan itu tidak berlaku.

Kelmarin Tunku Ismail berkata, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan dan langkah itu supaya kawasan itu akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam pula diluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup. - UTUSAN ONLINE