Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin berkata, setiap keputusan yang diambil oleh parti ini perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan daripada seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi.

“Saya khuatir, sekiranya pro­ses membuat keputusan tidak dijalankan dengan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan seolah-olah memperlihatkan PKR telah dimanipulasi oleh kelompok tertentu.

“Adalah penting untuk seluruh kepimpinan PKR menjunjung tinggi agenda reformasi yang kita perjuangkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan amat berharap Anwar akan tampil mengumumkan pendirian beliau mengenai perkara tersebut.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, kepulangan Anwar ke Parlimen merupakan suatu perkara yang didambakan oleh setiap anggota parti, para aktivis reformasi dan juga rakyat Malaysia.

“Perjuangan reformasi selama 20 tahun untuk memulihkan kembali negara ini telah tercapai pada Pilihan Raya Umum Ke-14, yang mana Datuk Seri Anwar telah memainkan peranan yang sangat besar dalam penyatuan kesemua parti komponen dalam Pakatan Harapan.

“PKR yang diasaskan oleh beliau sendiri perlu berdiri di atas paksi ketelusan dan mendukung demokrasi pada tahap yang ter­tinggi,” tegas Zuraida.

Hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen tersebut dan menjadi Perdana Menteri Kelapan.