Ibarat mencurah air ke daun keladi, yakni perbuatan yang sia-sia untuk orang Melayu meng­ingatkan tiga parti terbabit.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dikepalai dua nakhoda tidak pernah memikirkan kebimbangan orang Melayu. Asalkan UMNO kecundang, itu sahaja agenda PPBM. DAP yang diterajui penasihatnya, Lim Kit Siang dan para penyokongnya tidak ambil peduli pasal semua ini. Orang Melayu? Asalkan sahaja BN tumbang.

Satu contoh paling nyata ialah himpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara pada 2015.

Siapa yang paling ramai membanjiri dan memenuhkan himpunan itu setelah Pas menarik diri menyertainya? Faham-faham sahaja.

Apa yang dibuat mereka ini? Bukankah mereka dalam himpunan Bersih 4.0 ini memaki hamun kerajaan sesuka hati. Seolah-olah kerajaan ini tidak ada jasa dan sumbangan langsung kepada ke­sejahteraan rakyat dan tanah air.

‘Penangan’ mereka ini perlu diambil pengajaran.

Kedudukan kuasa politik di tangan Melayu sekarang pun kelihatan agak pecah-belah sehingga terbentuk lima parti – UMNO, Pas, PKR, PAN dan PPBM. Inikan pula nanti apabila kuasa sudah terlepas dari tangan, alamatnya selagi ada bulan dan bintanglah jawabnya melepas selama-lamanya.

Orang Melayu perlu cepat belajar. Mereka tidak harus mudah memohon maaf atau apologetik atas nama perjuangan atau semasa menegakkan yang hakiki seperti mana dalam isu pembentangan RUU 355.

Hak Melayu dan bumiputera sedia terjamin dan kekal dalam Perlembagaan. Hak masyarakat Cina, India dan lain-lain terjamin dan kekal di sisi undang-undang negara ini. Apa yang ada dalam perlembagaan Malaysia itu hakikatnya ialah kontrak sosial, yakni ikatan janji kemasyarakatan. Jika itu ertinya kita semua mesti mempertahankannya.

Hak-hak istimewa dan khas orang Melayu/bumiputera, hak Raja Perkara 38 dan 181, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 159), kedudukan agama Islam dan lain-lain agama (Perkara 3), siapa itu Melayu di bawah Perkara 160, semua ini dan lain-lain telah berakar tunjang hampir 60 tahun.

Jangan bila ada anasir atau pihak tertentu cuba menggegarkan isu-isu berkaitan dengan ‘nilai-nilai hak asasi’ sebagai gong politik mereka, maka kita pun khuatir dan takut. Kita se­gan dan mula tunduk.

Hanya Barisan Nasional dike­tuai UMNO, gabungan paling lama bertahan dan dipercayai dalam sejarah politik negara.


Info:

GABUNGAN PARTI POLITIK:


> Barisan Nasional (BN)
Anggota: 14 parti ditunjangi UMNO
Ditubuhkan: 1973 menggantikan Perikatan. BN memerintah tanpa diganggu (termasuk era Perikatan) sejak kemerdekaan 1957.
Usia: 62 tahun (Termasuk 18 tahun di bawah Perikatan yang ditubuh sejak pilihan raya pertama 19550

PEMBANGKANG:
> Barisan Alternatif 
Anggota: DAP, Keadilan, Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Ditubuhkan: 1999
Bubar: 2008.
Usia: 9 tahun.

> Pakatan Rakyat 
Anggota: PKR, DAP, Pas
Ditubuhkan: 1 April 2008
Bubar: 16 Jun 2015 setelah DAP tidak lagi dapat bekerjasama dengan Pas.
Usia: 7 tahun

*Pakatan Harapan
Anggota: DAP, PKR, PAN dan PPBM
Ditubuhkan: 22 September 2015
Usia: Setahun setengah

Boleh guna lambang BN