Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa pada masa sama menyifatkan persidangan pada kali ini yang juga mungkin terakhir sebelum PRU-14 dijadikan sebagai medan menjawab pelbagai tohmahan terhadap parti serta kepemimpinannya.

Persidangan itu juga, jelas Annuar, perlu dimanfaatkan oleh para perwakilan untuk meningkatkan solidariti dalam kalangan mereka.

“Perbaharui wadah perjuangan, jawab tohmahan dan pertingkatkan solidariti serta wala ke arah pilihan raya umum,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerusi akaun Facebook beliau meminta para perwakilan memanfaatkan persidangan berkenaan.

“Manfaatkan Persidangan UMNO Bahagian untuk terus bersatu, bersetia, berkhidmat,” ujar beliau.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menerusi akaun Twitter beliau menzahirkan ucapan selamat bersidang kepada semua perwakilan parti di seluruh negara.

“Insya-Allah tetap bersatu, bersetia, berkhidmat. Dulu, kini dan selamanya,” kata beliau.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula mengingatkan perwakilan bahawa persidangan parti itu adalah demi kepentingan agama dan bangsa.

“Dulu, kini dan selamanya. Demi kepentingan agama dan bangsa!” jelas beliau menerusi akaun Twitter.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga tidak ketinggalan mengucapkan selamat bersidang kepada perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO di 191 bahagian seluruh negara menerusi akaun Twitter sayap parti itu.