Slogan ‘ubah’ yang dilaungkan DAP pada pilihan raya lalu itu telah mempengaruhi masyarakat Cina apabila 80 peratus pengundi kaum tersebut sepakat menolak BN sehingga PKR menang di situ dengan majoriti selesa.

Namun, selepas lima tahun wakil rakyat pembangkang diberikan peluang, nampaknya tiada sebarang perubahan berupaya dilakukan khususnya dalam usaha membela nasib masyarakat di kawasan tersebut.

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Datuk Oui Ah Lan bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai kegagalan pembangkang di kawasan itu dan peluang BN pada PRU-14.
 

Utusan: Sepanjang tempoh lima tahun ini, apa yang boleh Datuk simpulkan mengenai keupayaan pembangkang di kawasan Indera Kayangan?

Oui Ah Lan: Saya tidak nampak apa yang pembangkang telah laksanakan di kawasan Indera Kayangan. Tidak ada apa, langsung tidak berkesan. Apa yang saya lihat, BN yang banyak turun padang dan membantu penduduk di kawasan berkenaan. Satu kerusi yang dimenangi pembangkang di Perlis sebenar­nya tidak boleh membantu untuk mem­bela nasib penduduk di kawasan itu.

Bagaimana Datuk melihat perbandingan ketika BN menguasai DUN tersebut dan pembangkang pada hari ini?

Dulu banyak aktiviti dan semua pembangunan di situ dilaksanakan ketika BN menguasai DUN tersebut. Ketika itu keada­an masyarakat Cina terbela.

Pembangunan pada masa itu pula sentiasa rancak berkembang. Hari ini, saya rasa kasihan dengan penduduk khususnya masyarakat Cina. Daripada aspek ekonomi juga kurang diberi perhatian, khususnya melibatkan peluang yang diberikan pembangkang kepada para peniaga.

Masyarakat Cina rugi, mungkin mereka tidak faham hanya dengan satu kerusi wakil rakyat pembangkang tidak boleh buat apa-apa, hanya sekadar menjadi pembangkang.

Apakah punca kekalahan BN pada PRU-13?

Pilihan raya lalu angin bertiup kencang kononnya hendak tukar kerajaan sehingga menyebabkan pengundi Cina khususnya sepakat memilih pembangkang. Mereka telah terpengaruh de­ngan slogan ‘ubah’ yang dilaungkan DAP. Kali ini, saya yakin pengundi Cina akan kembali kepada BN kerana mereka sedar pembangkang tidak mampu mem­bela nasib mereka.

Bagaimana Datuk melihat peluang BN pada PRU-14 di Indera Kayangan?

Saya rasa BN berpeluang cerah untuk merampas kembali DUN Indera Kayangan. Keyakinan itu juga adalah selepas melihat usaha keras MCA sepanjang tempoh lima tahun ini bagi menarik kembali sokongan pengundi khusus­nya masyarakat Cina.

Apakah Datuk melihat bahawa pengundi Cina akan kembali kepada BN?

Pengundi Cina boleh kembali tetapi ia juga bergantung kepada aspek calon yang bakal diketengah di kawasan itu nanti. Soal pemiihan calon memainkan peranan besar dalam menentukan kemenangan BN di situ.