Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, keyakinan itu adalah berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

"Sebenarnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam Jadual Kesebelas, Perkara 33(C) iaitu apa-apa badan atau suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah undang-undang adalah tidak terkesan daripada apa-apa kekosongan yang berlaku.

"Itu peruntukan Perlembagaan bukan undang-undang biasa. Dan kita mengambil keputusan untuk mengikut Jadual Kesebelas, Perkara 33(C) tersebut," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, terdapat juga keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memutuskan bahawa SPR secara spesifik tidak terkesan dengan apa-apa kekosongan keahlian.

"Jadi itu merupakan panduan kita... ia adalah terang dari segi perundangan, SPR tidak terkesan," katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa terdapat pertikaian tentang kelayakan SPR menentukan tarikh PRK jika suruhanjaya itu hanya diwakili seorang sahaja iaitu pengerusinya.

UMNO hari ini pula mempertikaikan kewujudan SPR kerana hanya dikendalikan oleh seorang individu ketika ini iaitu Azhar.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sedangkan jawatan lain iaitu Timbalan Pengerusi dan lima Ahli SPR masih kosong kerana pelantikan belum lagi dibuat sehingga kini.

SPR terdiri daripada tujuh ahli termasuk pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli suruhanjaya.

Pelantikan mereka diperkenankan oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Azhar menegaskan, SPR tidak berhasrat untuk meletakkan syarat pemeriksaan kesihatan ke atas calon yang akan bertanding pada pilihanraya. 

Beliau berkata, cadangan itu juga memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan. 

“Syarat supaya calon melakukan pemeriksaan kesihatan itu memerlukan pindaan perlembagaan. Langkah itu tak perlu sebab perkara kematian tak boleh dijangka. Sihat pun boleh mati. Langkah itu tidak akan dilakukan,” katanya.

Azhar memberitahu, beliau berpuas hati dengan perjalanan serta pengurusan semua pilihan raya di bawah kendaliannya iaitu melibatkan PRK di Port Dickson dan Cameron Highlands setakat ini termasuk inisiatif-inisiatif baharu di bawah sekretariat.

Namun begitu beliau menjelaskan, terdapat beberapa isu di Cameron Highlands iaitu melibatkan gambar tular pemberian wang oleh sesetengah pihak dan ia telah dilaporkan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak serta parti politik yang menimbulkan perkara berkenaan sekali gus mencerminkan bahawa masyarakat dilihat semakin sedar dan berminat mengenai peraturan dan undang-undang kesalahan pilihan raya.

"Ini satu kemajuan dalam proses pilihan raya kita dan saya berharap ia dapat diteruskan dalsm menjamin proses pilihan raya yang adil dan saksama," katanya. - UTUSAN ONLINE