Perlis - KANGAR, 13 OKTOBER 2016 - Sidang akhbar bersama Mursyidul
HASHIM

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, mereka dilihat melaungkan slogan Islamisasi dengan mendakwa sebagai 'Islamis' dan bergerak seperti harakah Islam sedangkan mereka tidak membawa agenda Islam yang sebenar.

Menurutnya, kefahaman mereka tentang Islam tidak bertepatan dengan ajaran Islam yang diperturunkan oleh Rasulullah S.A.W dan mereka menerima politik Islam namun dalam masa yang sama mereka mereka menolak parti politik Islam.

"Mereka menerima sistem politik Islam tetapi mereka tidak mahu laksanakan syariat Islam. Mereka kata Islam itu syumul tapi mereka beralih untuk tidak laksanakan hukum Islam. 

"Mereka sebenarnya masih lihat Islam dari kaca mata sekular dengan menghadkan Islam dalam urusan ibadat saja, meletakkan Islam antara hati dan masjid, menjadikan Islam sebagai agama peribadi dan enggan menguruskan seluruh urusan dunia dengan agama Allah," katanya.

Hashim menyatakan perkara itu ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali ke- 57 sempena Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang bermula hari ini di Permai Inn, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan kepemimpinan tertinggi Majlis Syura Ulama Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad; Timbalannya yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang.

Katanya, kecelaruan timbul kesan daripada kekeliruan fikrah para pemimpin politik Islam, dan kelompok sekular, Islamis demokrat, post Islamis, Islam inklusif dan Islam progresif yang bercantum di bawah payung Pakatan Harapan kini bukan sahaja gagal mengangkat kemuliaan Islam, bahkan gagal menterjemahkan makna Islam sebenar.

Menurut beliau, para pemimpin politik itu mengalami kekaburan dalam memahami tasawur Islam sebenar dengan mengambil Islam dalam konotasi yang dibina oleh Barat. - UTUSAN ONLINE