Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, dakwaan sedemikian adalah perkara biasa yang dilakukan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasio­nal (BN) demi meraih undi rakyat.

“Perak di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjadi sebuah negeri yang aman, stabil, tiada masalah besar dalam negeri, rak­yat hidup penuh nikmat dan ke­perluan semua cukup jadi tidak ada sebab kenapa rakyat nak tolak.

“Memang tidak terkejutlah kalau pembangkang sengaja keluarkan kenyataan macam tu sebab kalau tidak mereka tidak ada peluanglah nak pengaruhi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatan beramai-ramai di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyid­din Yassin di Tambun, Ipoh baru-baru ini, bahawa Perak akan jatuh ke tangan pembangkang pada PRU14.

Dalam pada itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yakin sekiranya rakyat memberi lagi mandat kepada BN untuk mentadbir Perak, lebih banyak program dan usaha untuk membantu rakyat akan dilaksanakan.

“Sekiranya Zambry sekali lagi menjadi Menteri Besar dia akan teruskan program hebat terutama membantu ekonomi orang Melayu.

“Bagi saya lebih baik kita teruskan kepemimpinan sebegitu daripada memilih pembangkang yang tidak tahu siapa yang tidak boleh diharapkan, buat apa nak perjudikan masa depan kita,” katanya.

Tajuddin turut mengajak semua anggota UMNO supaya mengikut arahan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya bersatu padu dengan mengetepikan masalah-masalah peribadi. – BERNAMA