Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, jika orang Melayu sebagai penduduk terbesar di negara ini dapat bersatu, secara langsung negara akan aman dan keadaan politik juga stabil.

“Bila keadaan politik stabil, banyak pihak akan membuat pelaburan di negara kita, banyak modal diperoleh dan perniagaan dapat dijalankan serta peluang pekerjaan akan bertambah.

“Orang bukan Melayu dan bukan Islam jangan risau, bila penduduk dan kaum terbesar dapat duduk dalam keadaan tenteram, semua orang akan dapat menikmati kesejahteraan negara,” katanya.

Mohamad yang juga merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian sewaktu berucap dalam Majlis Ramah Mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Sawah, Rantau di sini malam tadi.

Sementara itu, tambah Mohamad, agenda penyatuan ummah antara kedua-dua pihak sedang disusun dengan baik kedua-dua agar dapat diterjemahkan dengan salah satunya menerusi keputusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sekarang ini kita sedang buat penyatuan ummah dengan Pas, kita buat elok-elok. Kita pupuk benih penyatuan yang sedang tumbuh ini biar ia membesar menjadi pohon yang rendang untuk melindungi seluruh rakyat Malaysia, bukan orang Melayu sahaja.

“Ada pihak yang takut sangat dengan penyatuan ummah ini, jadi sama-sama kita terjemahkan perpaduan yang hendak kita capai ini dengan baik dan insya-Allah, PRU-15 tetap mereka akan kena tanam,” katanya. - UTUSAN ONLINE