Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, salam silaturahim daripada Presiden disampaikan dalam ucapan penggulungan beliau itu yang disusuli berjabat tangan dengan Muhyiddin dilihat sebagai titik awal penyatuan dalam kalangan pemimpin dan juga peringkat akar umbi.

Katanya, para perwakilan dan ahli-ahli menaruh harapan tinggi untuk melihat penyelesaian tuntas masalah itu dengan bersandarkan semangat setiakawan dan perpaduan serta keikhlasan yang wujud pada Presiden.

“Daripada ucapan Presiden itu jelas beliau ingin melupakan segala-galanya dan mengetepikan apa saja yang telah berlaku. Kini terserah kepada keputusan Muhyiddin.

“Kita tidak boleh paksa mereka bersatu, mereka perlu ikhlas ke arah itu. Apa yang kita harapkan, ia dapat mencetuskan semangat kekitaan tanpa perlu menoleh ke belakang lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan acara Batik Riang Ria Jalan Kaki di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan bersama keluarganya serta lebih 2,000 peserta menyertai acara tersebut yang diadakan hasil kerjasama antara Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan .

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau menyambut baik pengumuman oleh Najib mengenai pemberian diskaun untuk perkhidmatan Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Peningkatan kos pengangkutan terlalu mendadak terutama kepada penduduk yang tinggal di Lembah Klang. Ini antara perbelanjaan yang sangat diperlukan oleh orang awam. Peningkatan berlaku sangat tinggi dan ia kos yang tidak boleh dituntut oleh rakyat .

“Apa yang penting Perdana Menteri faham keresahan rakyat dan saya berharap beliau akan umumkan beberapa penurunan selepas ini,” katanya.