Bagaimanapun, kepemimpi­nan gabungan parti mem­bentuk Pakatan Harapan diketuai DAP itu masih lagi memendam rasa, enggan menunjukkan ta­ring um­pama harimau yang me­nyem­bunyikan kuku.

Tetapi, pekung di dada ma­sing-masing mula terdedah apabila soal pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mula dibangkitkan.

Ini kerana semua kepimpinan parti di dalam Pakatan Harapan tahu siapa yang paling banyak menguasai serta memenangi kerusi DUN maka parti itu paling layak untuk memerintah negeri.

Bermula dengan kekecohan aki­bat perasaan tidak puas hati dengan pengagihan kerusi DUN untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Negeri Sembilan nampaknya perebutan kerusi sesama rakan sekutu Pakatan Harapan diketuai DAP terus merebak.

Gara-gara tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi DUN juga mengakibatkan Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali saling berperang mulut dengan Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim.

Istilah joker kepada Mohamed Azmin dan PAN diejek sebagai parti 1.4 ke 1.5 peratus membuktikan kerjasama antara parti gabungan Pakatan Harapan itu amat rapuh dan tidak mustahil bila-bila masa sahaja ikatan itu boleh terlerai.

Soal-soal pembahagian kerusi DUN yang sepatutnya dibincangkan secara dalaman serta semangat kekeluargaan di dalam parti nampaknya tidak menjadi amalan dalam Pakatan Harapan di mana sifat tamak haloba me­nguasai pimpinan.

Selepas ini, khabarnya pe­nyakit berebut kerusi ini dijang­ka merebak pula di Perak dan Kedah.

Ini memandangkan terdapat ura-ura bahawa DAP dijangka menguasai kerusi DUN Perak manakala PPBM pula mendominasi DUN Kedah.

Jika ura-ura ini benar-benar berlaku maka pemimpin PAN seperti Timbalan Pengerusi PAN Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Presiden PAN, Mohamad Sabu sekadar boleh melihat sahaja negeri yang layak dipimpin mereka dikorbankan kepada parti lain.