Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, PRK DUN Semenyih telah mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 73 peratus oleh itu beliau berharap PRK Rantau dapat mencapai peratusan serupa atau lebih lagi.

“SPR menyasarkan 70 peratus keluar mengundi, di Semenyih 73 peratus jadi mungkin kita boleh capai lebih lagi, cabaran kepada orang ramai di Rantau.

“SPR berharap para pengundi dapat keluar mengundi untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka dan memohon semua pihak khususnya pihak media agar memainkan peranan untuk menggalakkan pengundi agar keluar mengundi pada 13 April nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon PRK Rantau di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Azmi, beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan di beberapa PRK sebelum ini akan diteruskan pada PRK Rantau kali ini.

“Bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas akan diwujudkan dua saluran dan tambahan waktu mengundi selama 30 minit iaitu dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

“SPR juga menambah 11 saluran baharu di pusat mengundi yang ramai pengundi menjadikan 55 saluran berbanding 44

saluran semasa pilihan raya umum lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE