Seperti yang dijelaskan beliau dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia di Bilik Gerakan Utama PH DUN Seri Setia semalam, pengundi pasti memilih calon yang terbaik untuk mewakili mereka.

KUALA LUMPUR- 03 September 2018 - Calon PKR, Halimey Abu Bakardi
 

UTUSAN: Bagaimana tuan melihat tahap sokongan pengundi dan situasi di DUN Seri Setia?

Masa hanya tinggal beberapa hari lagi. Jadi, jentera kita masih giat berkempen dan kita sudah turun di banyak tempat. Saya turut mengingatkan pengundi agar me­laksanakan tanggungjawab mereka Sabtu ini. PH juga akan menggunakan saki baki hari yang tinggal dengan strategi tertentu termasuk mempergiatkan kempen melawat dari rumah ke rumah.

Bagaimana tuan melihat kerjasama Pas-UMNO di Seri Setia? Adakah ia mampu menggugat sokongan terhadap PH?

Pada pandangan saya, UMNO bermasalah terutama apabila membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Malah, kita percaya rakyat sudah tidak terima UMNO. Apabila Pas bergabung dengan mereka (UMNO), adakah kita akan goyah? Sudah tentu tidak. Pengundi Seri Setia tahu apa yang mereka pilih dan tahu membezakan antara kawan atau lawan.

Latar belakang calon Pas, Dr.Halimah Ali sebagai golongan profesional dan pengalamannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang sebelum ini serta bekas Exco kerajaan negeri Selangor memberi kelebihan. Bagaimana pula de­ngan tuan?

Beliau jadi Exco se­wak­tu Pas bersama Pa­katan Rakyat. Sekarang mereka bukan la­gi de­ngan kita dan me­nyendiri. Kalau ka­ta Dr. Halimah hebat, beliau pun kalah ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Saya ada kelebihan tersendiri sebagai anak tempatan. Saya per­nah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Jadi mana mungkin saya tergugat?

Tempoh 21 hari berkempen dilihat terlalu lama. Adakah ia mampu memberi impak terhadap jumlah peratusan keluar me­ngundi? Adakah jumlah tersebut akan terus merosot sebagaimana dalam PRK DUN Sungai Kandis?

Kita akan ambil pengajaran sewaktu PRK DUN Sungai Kandis yang mana tidak sampai 50 peratus pengundi keluar. Kita minta mereka keluar mengundi menerusi program turun padang serta siar raya yang dibuat sepanjang 21 hari berkempen. Kita tahu tempoh ini memang lama. Tetapi ia memberi kelebihan kepada saya untuk melawat semua tempat. Cuma yang buruknya, keadaan kesihatan saya agak teruk (ketawa).

Apakah fokus utama andainya tuan menang?

Sudah tentu mahu kurangkan kadar kemiskinan bandar dan meningkatkan ekonomi penduduk. Saya juga mahu memberi lebih fokus membantu penduduk Lembah Subang lebih-lebih lagi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana keadaan di sana agak teruk di samping penduduk Desa Mentari dan Ara Damansara. Inilah tumpuan kami.