Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, melihat komitmen Najib, BN mempunyai perancangan strategik pandang ke hadapan dengan meneliti kehendak ‘millennials’ atau Gen Y dalam merencanakan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana golongan tersebut merupakan aset kepada negara.


Sehubungan itu, Ahmad Zahid menasihatkan kepada golongan muda supaya tidak mendengar tohmahan pembangkang yang berhasrat menjatuhkan kepemimpinan sedia ada, kononnya ingin membawa perubahan kepada negara.


“Biarpun terjahan, hujan, petir dan kilat kepada kerajaan BN terutamanya kepada Perdana Menteri, anak-anak muda terutamanya pengundi kali pertama harus terus memberikan sokongan dengan mengundi calon BN sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.


“Aku janji yang diperlihatkan pembangkang menunjukkan mereka bukan mahu menjanjikan perubahan lebih baik. Namun, manifesto mereka menunjukkan mereka akan memusnahkan atau meranapkan segala perancangan dan pembangunan dalam negara,” katanya. 


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Belia Negaraku anjuran Pemuda BN dan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muara di sini hari ini.


Hadir sama Pengerusi Pemuda BN Perak, Khairul Azwan Harun dan Presiden MBM, Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin. - UTUSAN ONLINE