Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk R. S. Thanenthiran berkata, majoriti kaum India akan terus menjadi penyokong setia Barisan Nasional (BN) walaupun parti pembangkang mendakwa ia mendapat sokongan kaum tersebut.

"Dalam PRU-14 ini, kita perlu tunjukkan kepada parti pembangkang terutamanya Dr. Mahathir bahawa pakatan mereka tidak akan mendapat sokongan pengundi India," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Konvensyen Gerak Gempur PRU-14 Parti Makkal Sakti Malaysia, Negeri Sembilan di sini petang ini.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

Yang turut hadir, Pengerusi Parti Makkal Sakti Malaysia, Negeri Sembilan, Datuk V. Saravanakumar.

Thanenthiran memberitahu, kaum India enggan menyokong pembangkang kerana sehingga kini, banyak nikmat telah diperoleh daripada kerajaan BN seperti sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan kuil.

"Sebagai contoh, di Negeri Sembilan, kerajaan negeri telah menyelesaikan semua masalah SJKT dan mengazetkan tapak kuil.

"Di negeri ini kita ada SJKT  yang disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai yang terbaik di seluruh negara," ujarnya. - UTUSAN ONLINE