Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramai pengundi Cina terpedaya dengan slogan “Ini Kalilah” yang dilaungkan pembangkang pada PRU ke-12 dan 13 sebelum ini namun agenda itu dilihat gagal serta tidak membantu mengubah nasih mereka. 


“Oleh itu, ‘Ini Kalilah’ kita hancurkan mereka (DAP) pada PRU-14 akan datang. Zaman DAP akan merudum, empayar DAP akan pecah dan Dinasti Lim akan runtuh. 


“Saya seru orang Cina, cukup-cukuplah ditipu oleh DAP dan tiba masanya PRU-14 ini untuk patah balik kepada Barisan Nasional (BN),” katanya. 


Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Banda Hilir di sini hari ini.


Yang turut hadir, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Latiff Tamby Chik. - UTUSAN ONLINE