Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, nasib dan masa depan parti keramat UMNO kali ini tidak lagi bergantung kepada pengundi ‘atas pagar’ sebaliknya terletak pada pengundi muda yang bakal mengundi buat kali pertama.

Menurutnya, pertambahan pengundi baharu sememangnya amat positif di beberapa kawasan di negeri ini namun ia bukan petanda baik kerana pertambahan itu tidak menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap UMNO dan BN di Melaka.

“Justeru, saya memberi peri­ngatan awal kepada pemimpin parti di setiap peringkat agar melakukan gerak kerja termasuk mendekati kumpulan pengundi baharu ini bagi memberi gambaran sebenar mengenai kerajaan BN.

“Ini perlu memandangkan sebahagian besar daripada mereka (pengundi baharu) telah mendapat gambaran serong daripada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah serta tribulasi mengenai UMNO dan BN,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Malim di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah; Naib Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Sazali Muhamad Din; Ketua Pemuda UMNO Melaka, Datuk Zali Mat Yasin; Ketua Puteri UMNO Melaka, Azlieza Azizan.

Jelas Idris, selain menumpukan agenda mendekati pengundi baharu, para perwakilan juga diminta berhati-hati dengan ahli-ahli UMNO di peringkat cawa­ngan yang menjadi ‘tangan-tangan sumbang’ menyokong pembangkang hingga menyebabkan kekalahan parti di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

“Kita tidak boleh lagi hanya menuding jari kepada pembangkang atas kelemahan kita sebalik­nya apa yang menjadi cabaran hebat kini ialah orang yang di hadapan kita menyatakan sokongan namun di belakang kita berkata lain.

“Sehubungan itu, kira perlu lebih berhati-hati serta tidak melepaskan maklumat secara bebas kepada mereka kerana ia mungkin disalurkan kepada pembangkang hingga boleh menjejaskan strategi serta gerak kerja parti,” ujarnya.

Tambahnya, beliau telah mengesan beberapa cawangan yang mengamalkan sikap sedemikian hasil penelitian ke atas keputusan undi PRU sebelum ini dan ia memang berlaku.

“Setakat ini mereka masih lagi ahli dan tidak diambil tindakan kerana kita tiada bukti kukuh mereka menyokong pembangkang tetapi ia dapat dilihat daripada keputusan undi yang tidak selari di peringkat DUN dan Parlimen,” katanya.