Di negara demokrasi terbesar, India pula berbuat demikian sejak 1967. Struktur sebelum itu dipengerusikan Menteri Kewangan dan kemudiannya ahli Parlimen kerajaan mempengerusikannya.

United Kingdom (UK), model kepada sistem Parlimen Westminster yang mula-mula membentuk PAC pula melantik pembangkang sebagai pengerusi sejak 1870 lagi iaitu kira-kira sedekad selepas jawatankuasa itu ditubuhkan.

Prinsip asas di UK, pengerusi hendaklah dilantik dalam kalangan seorang ahli Parlimen yang merupakan pemimpin kanan pembangkang dan lazimnya daripada bekas menteri. Ini diikuti banyak negara Komanwel termasuk negara membangun.

Di Malaysia seperti semua sedia maklum, pelantikan pengerusi PAC dalam kalangan pembangkang hanya berlaku selepas kerajaan era Malaysia baharu bertepatan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee mencatat sejarah tersebut sejak PAC mula ditubuhkan Parlimen Malaysia pada 1959.

Amalan sebelum ini, pengerusi PAC dilantik dalam kalangan ahli Parlimen parti kerajaan dengan pembangkang pula sebagai naib pengerusi PAC.

Sebenarnya keperluan PAC dipengerusikan pembangkang sudah lama disuarakan PKR, Pas dan beberapa pertubuhan berkaitan sejak dua dekad lalu. Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sudah melaksanakannya.

Tujuannya kerana PAC adalah salah satu jawatankuasa integral yang akan mengawasi wang kerajaan agar setiap perbelanjaan memenuhi segala peraturan ditetapkan.

Ini supaya tidak berlaku ketirisan atau penyelewengan dan antara siasatan PAC yang diingati di negara ini skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Maka, apa yang akan berlaku selepas ini masih jadi tanda tanya. Sampai bilakah Ronald yang kini menyertai parti kerajaan akan mengetuai jawatankuasa yang dianggap tertinggi dalam sistem Westminster?

Sumber kuasa kepada pembentukan PAC adalah dari Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Perkara 77. Dalam perkara itu hanya sebut bilangan minimum dan maksimum anggota PAC tanpa menyebut keperluan melantik dalam kalangan pembangkang.

Maka ini semua tertakluk kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan jika Ronald digantikan, pembangkang sudah ada pilihan. Cuma jangan pula berulang kisah Ronald, jika tidak kena cari pengerusi baru lagi. Atau soal lompat parti perlu dibendung dulu? -UTUSAN ONLINE