Katanya, tindakan Wan Saiful kononnya beliau diminta oleh Bersatu negeri menarik balik laporan polis berhubung isu pemalsuan dokumen tuntutan ratusan ribu ringgit melibatkan seorang pemimpin parti itu sama sekali tidak benar.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengambil tindakan terhadap pemimpin terbabit iaitu Setiausaha Kerja Bersatu yang sudah digugurkan jawatan.

“Kita gugur Wan Saiful bukan disebabkan isu tersebut (laporan polis) sebaliknya mengenai situasinya yang sibuk dalam menguruskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Tindakan dia (Wan Saiful) hanya akan memberi peluang kepada pembangkang menyerang kita. Isu sudah lama selesai dan jawatankuasa negeri sebelum ini tidak pernah meminta Wan Saiful menarik kes.

“Malah kita serahkan kepadanya untuk membawa kes berkenaan kepada pihak berkuasa. Saya harap dia tidak terburu-buru dan perlu berlapang dada (menerima penguguran jawatan),” katanya, di sini hari ini.

Wan Saiful yang digugurkan daripada jawatan Setiausaha Bersatu negeri hari ini mendedahkan mengenai skandal melibatkan ratusan ribu ringgit membabitkan parti itu di Perlis.

Dedah Pengerusi PTPTN itu, dia juga ditawarkan wang untuk mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis.

Isu tersebut berbangkit apabila Bersatu Perlis memutuskan untuk menggugurkan Wan Saiful daripada jawatan setiausaha parti itu berkuat kuasa serta-merta. - UTUSAN ONLINE