Malah, sebuah organisasi baharu yang menggelar diri mereka Sekretariat #Reformasi20Tahun turut ditubuhkan bagi memberi sokongan penuh terhadap kepemimpinan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden PKR untuk berganding dengan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua sekretariat itu, Zinda Khalil Sastro Hassan berkata, seramai 2,609 ahli PKR Cabang Kota Bharu bersama ahli dari Cabang lain di negeri ini akan berganding untuk membantu Rafizi berkempen menjelang pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Beliau yang juga Ketua Cabang Kota Bharu yang menang tanpa bertanding berkata, analisis awal juga meramalkan sekurang-kurangya 19,716 ahli PKR keluar mengundi di Kelantan dan daripada jumlah itu, lebih 13,800 orang bakal memilih Rafizi.

“Rafizi menjadi pilihan kami kerana sikapnya yang lebih tegas serta berani membongkar pelbagai isu demi kebaikan rakyat walaupun diri sendiri dipenjara. Beliau pemimpin idealisme paling sesuai membawa pembaharuan lebih baik kepada parti.

“Saingan beliau pula ada kelemahan-kelemahan sendiri yang kami fikir, dapat ditutup dengan baik oleh Rafizi sekiranya beliau mengambil alih jawatan Timbalan Presiden,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zinda Khalil berkata, PKR Cabang Kota Bharu kini menjadi penggerak utama kepada Sekretariat #Reformasi20Tahun yang akan turun berkempen habis-habisan untuk Rafizi.

“Kita ambil tugas ini kerana Kota Bharu merupakan satu-satu cabang yang tiada pertandingan di semua peringkat selepas Ketua, Ahli Jawatankuasa, Angkatan Muda dan Sayap Wanita disahkan menang tanpa bertanding,” katanya.

Sementara itu, calon Ketua PKR Cabang Pasir Mas, Mohd Samsudin Abd Rahman berkata, Rafizi seorang pemimpin lebih tegas berbanding Azmin dan hanya beliau individu yang boleh memastikan proses peralihan kuasa daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Anwar berjalan lancar.

“Azmin pula merupakan seorang Menteri dalam Kabinet, sudah pasti sedikit sebanyak beliau terikat dengan perkara itu. Kita tidak mahu kelemahan (Azmin) menjejaskan perjanjian peralihan kuasa.

“Selain itu, kemenangan Rafizi juga akan merobohkan tembok pemisah dalam kalangan ahli yang diwujudkan ketika Azmin menjadi Timbalan Presiden selama ini,” katanya.

Dalam pemilihan PKR bulan depan, pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden menyaksikan penyandang, Azmin dicabar Rafizi dalam pertembungan satu lawan satu. - UTUSAN ONLINE