Pengerusi penganjur program itu, Dr. Faizal Tajuddin berkata, poster yang tersebar di laman sosial hari ini kononnya program tersebut bermatlamatkan mahu untuk menyingkir Najib tidak benar sama sekali.

Dr. Faizal yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir salak berkata, ia adalah perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mahu mensabotaj program tersebut kerana bimbang terhadap kebangkitan orang Melayu.

“Poster yang telah diedit kononnya program itu bertujuan menyingkirkan Datuk Seri Najib daripada UMNO tidak benar, tidak logik dan tidak masuk akal sama sekali dan saya menafikannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai poster yang tersebar di laman sosial mengenai program Himpunan Melayu Bangkit anjuran UMNO Bahagian Pasir Salak pada 1 September ini yang telah diedit kononnya bertujuan menyingkirkan Najib daripada UMNO.

Dijangkakan lebih 10,000 orang menghadiri perhimpunan berkenaan yang akan diadakan di pekan Kampung Gajah pada 8 malam.

Perhimpunan itu tercetus hasil daripada maklum balas orang Melayu di peringkat akar umbi khususnya ahli UMNO yang mahukan satu gerakan untuk membangkitkan semula semangat orang Melayu setelah agama Islam, kedaulatan Raja-Raja serta hak orang Melayu dipertikaikan. - UTUSAN ONLINE