Pengalaman matangkan pengundi Cina di Indera Mahkota
Quek Tai Seong

Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) misalnya, DAP menang semua tujuh kerusi yang ditandinginya di Pahang pada pilihan raya umum itu.

Turut terkesan dengan ‘tsunami Cina’ itu adalah di Parlimen Indera Mahkota yang menyaksikan BN tewas di kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

Namun, keadaan kini dikatakan semakin berbeza di kawasan berkenaan.

Persepsi negatif masyarakat Cina terhadap kerajaan mula berubah dan tidak lagi menganggap bantuan kerajaan hanya untuk orang Melayu.

Sebaliknya, ia adalah untuk semua kaum menerusi dasar pentadbiran yang adil diamalkan kerajaan BN.

Dikatakan, masyarakat Cina sebelum ini terpengaruh dengan maklumat tidak tepat menyebabkan mereka tidak mahu memohon sebarang bantuan yang disediakan dan akhirnya memakan diri.

Berkongsi mengenai keyakinan itu, Ketua Pemuda MCA Indera Mahkota, Quek Tai Seong berkata, sokongan masyarakat Cina di kawasan tersebut kini berbeza jika hendak dibandingkan dengan PRU-13.

Masyarakat Cina di Indera Mahkota kini lebih matang dan mereka menilai apa yang dilakukan wakil rakyat dalam membela kebajikan kaum itu.

“Mereka (pengundi kaum Cina) telah memberi peluang kepada pembangkang dua penggal untuk kerusi Parlimen dan sepenggal untuk dua kerusi DUN di Indera Mahkota. Mereka tidak nampak apa yang dilakukan oleh wakil rakyat pembangkang untuk mereka.

“Masyarakat Cina diyakini akan memberi kembali sokongan kepada BN. Tetapi, BN perlu bersungguh-sungguh membela nasib mereka. Jika tidak, mereka pasti akan menukar semula pada pilihan raya umum seterusnya,” katanya kepada Utusan Online.

Tai Seong memaklumkan, untuk Parlimen Indera Mahkota, jumlah pengundi kaum Cina adalah kira-kira 12,000 di DUN Semambu dan hampir 9,000 orang di DUN Beserah.

“Masyarakat Cina di Indera Mahkota kini lebih realistik dan mereka sudah dapat membezakan antara wakil rakyat BN dan pembangkang. Pengalaman lalu mematangkan pengundi Cina di sini,” ujarnya.

Tentunya, slogan ‘Ubah’ yang dilaung-laungkan DAP yang kini mengetuai Pakatan Harapan pada PRU-13 hanya omongan kosong semata-mata.

Hakikatnya, slogan itu hanya untuk mempengaruhi rakyat terutama pengundi Cina supaya mengundi pembangkang dan apabila rakyat memberi kepercayaan kepada mereka, tiada apa pun yang diubah.

Pengundi Cina di Indera Mahkota telah sedar dengan hakikat itu dan mereka tidak mahu ditipu lagi. - UTUSAN ONLINE