MOHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN

Mohammad Nizar yang dilantik menjadi Exco selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan berkata, tumpuan kini terarah untuk melaksanakan segala yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Azam pertama yang kita hendak lakukan ialah membuatkan penduduk merasakan mereka adalah sebahagian rakyat Perak tanpa sebarang diskriminasi.

“Kita akan penuhi hasrat rak­yat seperti terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan. Rakyat ingin melihat apa manfaat yang mereka peroleh daripada pertukaran kerajaan, jadi kita hendak penuhi iltizam mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas 10 ahli Exco kerajaan negeri yang dilantik kelmarin, memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Abdul Aziz Bari
ABDUL AZIZ BARI

Namun begitu, portfolio bagi kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu masih belum diputuskan secara muktamad ketika ini.

Sementara itu, Exco paling muda yang dilantik, Howard Lee Chuan How berkata, keutamaan kini juga perlu diberikan perhatian terhadap penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19 yang bakal berlangsung pada September ini.

“Sehubungan itu, saya menggesa pemimpin kerajaan sebelum ini untuk memberikan kerjasama sepenuhnya supaya penyerahan kuasa ini dapat berjalan lancar sekali gus kita dapat menjayakan Sukma paling berjaya yang menjadi kebanggaan Perak,” katanya.

A. SIVANESAN
A. SIVANESAN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A. Sivanesan yang kembali dilantik menjadi Exco kerajaan negeri pula berkata, pihaknya akan meneruskan pemberian hak tanah milik kekal kepada penduduk kampung baharu serta kampung tersusun.

Selain itu, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, segala polisi dan tindakan yang bakal dimuktamadkan kerajaan negeri selepas ini perlu benar-benar memberi manfaat kepada rak­yat tanpa sebarang ketirisan dan bukan hanya bersifat kosmetik semata-mata.