Mungkin percaya dengan putar belit bekas ahli Parlimennya, Rafizi Ramli yang mendakwa jika PKR meletakkan kucing sebagai calon sekali pun sudah memadai untuk menang, penduduk merasakan Wan Azizah begitu mengambil mudah keperluan berkempen di situ.

Menurut Michael Pang, 42, dia tidak nampak kesungguhan Wan Azizah untuk berkempen di Pandan, sekali gus merasakan calon tersebut akan mengulangi sikap Rafizi yang didakwa jarang bertemu penduduk.

“Tidak pernah nampak (Wan Azizah). Sama seperti kerajaan PKR Selangor yang mengabaikan pelbagai aduan penduduk dan jika ada pun, gagal menyelesaikan masalah kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengikut jadual pergerakan Wan Azizah, beliau didapati berkempen di Pandan, Sabtu lalu sebaik sahaja tamat proses penamaan calon dan pada 1 Mei lalu sewaktu Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan ceramah di Desa Pandan.

Kali terakhir beliau berada dalam Parlimen Pandan ialah pada Jumaat lalu ketika majlis minum pagi bersama penduduk disertai oleh anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar Nik Abdul Aziz dan selebihnya beliau berkempen di tempat-tempat lain.

Dil Azreen Hamid, 29, pula memberitahu, dia menyedari beberapa parti lain sibuk berkempen berhampiran kawasan perumahannya di Pandan Indah, namun tidak nampak kelibat Wan Azizah.

“Saya ada terdengar suara-suara orang memberi ceramah, tetapi tidak dengar suara Wan Azizah. Tidak tahu sama ada beliau pernah datang ke sini atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Nor Ismail, 66, berkata, dia dimaklumkan Wan Azizah ada berceramah di Pandan namun tidak bersungguh-sungguh seperti parti lain yang setiap hari bertemu penduduk.

Dia merasakan Wan Azizah mungkin ‘mengambil mudah’ kepentingan untuk berkempen di Pandan memandangkan popularitinya yang tinggi tanpa perlu bersusah-payah bertemu rakyat setiap hari.

“Beliau popular. Sebut nama dan lihat poster sahaja orang sudah kenal. Mungkin itu menjadi sebab mengapa beliau tidak berkempen setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, menurut V. Minaci, 56, dia mendapati hanya jentera gabungan pembangkang PKR yang gigih berkempen tanpa kehadiran Wan Azizah.

“Kami menghargai kehadiran jentera parti sepanjang musim kempen ini, tetapi mahukan mereka memberi khidmat yang sama setiap masa.

“Jika calon sendiri tidak hadir, adakah mereka akan turun padang melawat tempat kami seandainya menang nanti?” soalnya.