Seorang penduduk, R. Ramakrishnan berkata, ketiadaan doktor pakar di hospital itu menyebabkan pesakit yang mengalami komplikasi terutama ibu yang hendak bersalin terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak.

Ramakrishnan yang juga Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) berkata, jarak di antara dua buah hospital itu lebih 100 kilometer dan mengambil masa hampir dua jam.

“Hospital di sini besar tetapi tiada doktor pakar. Apa-apa masalah yang serius termasuk ibu-ibu yang mahu bersalin akan dirujuk ke Ipoh (HRPB).

“Bagi kami tiada masalah untuk dihantar ke Ipoh bagi kes-kes besar dan kritikal tetapi untuk kelahiran, kita minta agar ada pakar dalam bidang itu di sini.

“Ini kerana apabila anak-anak di sini lahir di negeri lain ia akan memberi masalah untuk jangka masa panjang di mana mereka tidak dapat menikmati kelebihan sebagai anak Pahang terutama dalam pendidikan dan pekerjaan” katanya ketika ditemui di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE