Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, di negara ini, dalam konteks untuk me­ngubah nasib seseorang bukan lagi dibezakan dengan peluang untuk mendapatkan pendidikan, sebaliknya lebih kepada daya keinginan untuk mencapai kejayaan kerana semua akses dalam bidang tersebut sudah disediakan.

Keadaan itu kata beliau, jauh berbeza dengan kebanyakan negara lain sama ada negara maju apatah lagi yang sedang membangun.

“Sebagai ketua kerajaan, saya bangga sema­kin hari prinsip pendemokrasian pendidikan menjadi realiti yang mana taraf dan akses kepada kualitinya menjadi milik semua rakyat di negara ini.

“Insya-Allah, jika kita diberi mandat lima tahun yang akan datang, usaha ini akan teruskan sebagai satu kesinambungan. Um­pamanya yang terbaharu semasa saya melancarkan Manifesto BN PRU-14, saya telah memuatkan bantuan sekali beri sebanyak RM1,500 untuk anak-anak pe­nerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mendaftar di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Sambutan Hari Guru dan Kecemerlangan Pendidikan Pekan di Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom di sini hari ini.

Yang hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Seri Abu Bakar Harun; calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Datuk Khai­ruddin Mahmud; calon BN Peramu Jaya, Datuk Seri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali dan calon BN di DUN Bebar, Datuk Fakhruddin Mohd. Ariff.

Dalam majlis itu, Najib turut menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017 di kawasan Parlimen Pekan.

Perdana Menteri berkata, pendidikan sentiasa menjadi keutamaan tertinggi dalam susunan agenda kerajaan yang mana sejumlah RM56 bilion diperuntukkan kepada bidang berkenaan pada tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan bantuan subsidi yang besar kepada setiap murid sekolah kebangsaan iaitu kira-kira RM8,000 setahun, pelajar sekolah menengah (RM9,000 setahun) dan menampung lebih 90 peratus kos pendidikan di IPT awam.

“Mungkin ramai yang tidak me­ngetahui, tetapi ini melambangkan komitmen kerajaan adalah begitu tinggi terhadap pendidikan dalam konteks kita untuk membina sebuah negara bangsa dan mengubah untung nasib seorang insan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa berusaha melonjakkan bidang pendidikan kerana mahu melihat generasi muda memiliki kemahiran berfikir secara kritis, ciri pemimpin berjaya, menguasai dwibahasa, elemen kerohanian dan identiti nasional secara berterusan.

“Ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sebagai asas bagi kita mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi dan pembangunan modal insan Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.