Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu harus diterima baik semua ahli UMNO bagi memastikan parti tidak terkubur, sebaliknya terus berupaya menabur bakti kepada masyarakat khususnya orang Melayu dan bumiputera.

“Walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan, beliau (Najib) tidak menyimpan perasaan, sebaliknya menghulurkan salam perdamaian meminta supaya dilupakan sengketa yang ada di dalam parti.

“Oleh kerana salam perdamaian telah dihulurkan, maka tepuk dada tanya selera dan terserah kepada pihak berkenaan untuk menerima demi kepentingan parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan persekolahan 2016 Parlimen Bera dan penyampaian anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 di Dewan Rakan Muda Bera di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Fadil Osman.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, tindakan Najib menghulurkan salam perdamaian jelas membuktikan Presiden UMNO itu berjiwa besar dan ikhlas dalam perjuangan.

Katanya, apa yang dilakukan Najib itu bukanlah demi kepentingan peribadi, tetapi jelas dilakukan demi kepentingan UMNO dan masa depan orang Melayu dan bumiputera.

Tambahnya, berdasarkan respon dalam Perhimpunan Agung UMNO jelas menunjukkan ahli akar umbi mahukan perpaduan yang jitu dalam parti.

Dalam pada itu, katanya, segala masalah dalaman parti perlu diselesaikan dengan segera kerana sengketa dalaman boleh memberi kesan negatif kepada parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Yang lebih penting pada masa ini adalah parti mesti mengorak langkah ke hadapan untuk menghadapi agenda yang lebih besar iaitu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang,” katanya.