YEO BEE YIN
YEO BEE YIN 

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin malah turut meminta ahli politik sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan dapat bertindak secara membina demi kepentingan negara.

“Saya berharap masyarakat Malaysia hanya menyebar maklumat yang tepat dari pihak rasmi dan jangan menyebarkan khabar angin yang tidak berasas.

“Saya juga berharap pemimpin-pemimpin dan juga wakil rakyat sama ada pihak kerajaan atau pun pembangkang boleh bertindak secara konstruktif sehingga krisis ini dapat ditangani dengan baik,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Keadaan di Pasir Gudang dikatakan semakin kritikal akibat pencemaran toksik sejak Khamis lalu sehingga menyebabkan semua sekolah dalam kawasan Pasir Gudang ditutup.

Sementara itu, Bee Yin yang dilihat agak kepenatan selepas bergegas dari Pasir Gudang semalam agar dapat hadir ke Parlimen pagi ini meminta supaya ahli Parlimen lebih bertanggungjawab dan tidak bermain politik dalam isu itu.

“Saya datang dari Pasir Gudang pagi ini untuk menjawab kepada Parlimen, supaya bertanggungjawab kepada Parlimen. Saya juga berharap bahawa Yang Berhormat-Yang Berhormat sekalian boleh bertanggungjawab sebagai wakil rakyat apabila kita menangani krisis ini.

“Jangan main politik, jangan menuding jari,” tegasnya.

Dalam pada itu, ketika memberi respons kepada cadangan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) supaya darurat diisytiharkan segera di daerah Pasir Gudang, Bee Yin berkata beliau tidak boleh membuat keputusan sendiri.

“Saya akan panjangkan cadangan Yang Berhormat sekalian kepada jawatankuasa (bencana), ini bukan keputusan saya seorang tetapi di satu jawatankuasa. Saya memang mengambil maklum dan kami akan buat keputusan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE