Ketika mengumumkan pencalonan Jawatankuasa Pas Pusat bagi sesi 2017-2019, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, tiga penyandang jawatan itu turut dicalonkan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Pencalonan Takiyuddin dan Nasrudin dianggap isyarat daripada ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi yang mahu ‘sedikit perubahan’ dilakukan bagi jawatan Naib Presiden ketika mereka membuat keputusan mengekalkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pre­siden dan Timbalan Presiden.

Walaupun Takiyuddin dan Nasrudin perlu bersaing dengan tiga penyandang jawatan berkenaan namun kedua-dua mereka dikatakan memiliki persepsi positif dalam kalangan ahli-ahli Pas.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu dikaitkan dengan kejayaan Pas membentangkan Rang Undang-undang Mah­kamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 baru-baru ini selain Mohd. Amar yang menjadi tulang belakang parti dan penyokong kuat Presiden dalam membuat pendirian tegas dan jelas berhubung agenda Islam itu.

Walaupun Iskandar dilihat ‘bersih’, namun masih ada keraguan berhubung pendirian dan kelemahan kepemimpinannya di Selangor. Pesuruhjaya Pas Selangor itu disifatkan tidak begitu tegas ketika ada desakan agar Pas memutuskan hubungan dengan PKR sedangkan kenya­taan Presiden amat jelas untuk tidak bersama dengan parti lain yang dianggap seperti memikul ‘biawak hidup’.

Para perwakilan pada pemilihan kali ini dijangka turut memberikan isyarat untuk menyingkirkan mana-mana pe­mimpin yang berpendirian samar-samar akan kebolehan Pas untuk bergerak sendiri menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk memberikan keyakinan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Abdul Hadi memimpin parti.

Mereka mahukan satu barisan kepimpinan senada tanpa ada 
riak-riak perpecahan supaya tidak ada sekecil-kecil lubang yang boleh dimasuki musuh sehingga menggugat parti.

Turut menarik perhatian dalam pemilihan kali ini apabila Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar langsung tidak dicalonkan dalam mana-mana jawatan setelah beliau dilihat terlampau lantang mengkritik kepemimpinan parti sendiri seolah-olah mencerminkan beliau sebagai orang luar. Dalam pemilihan parti sebelum ini, beliau pernah dicalonkan sebagai Naib Presiden namun tidak dipilih.

Selain Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim, turut disahkan menang tanpa bertanding ialah Hussin Ismail dan Kamal Shaari bagi jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap setelah sesi pencalonan ditutup kelmarin.

Menurut Takiyuddin, jawatankuasa pemilihan menerima 40 pencalonan bagi mengisi 18 tempat untuk Jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

“Calon-calon yang tersenarai tersebut dikehendaki menyatakan penerimaan pencalonan sebelum 17 April ini,’’ katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pemilihan parti itu pada tahun ini juga dilihat lebih mudah kerana tiada lagi ‘campur tangan asing’ yang akan mengganggu proses tersebut kerana Pas kini berdiri sendiri setelah tidak lagi berada satu kapal dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Dalam pemilihan lalu di Kuala Selangor, berikutan pe­ngaruh DAP, Pas berpecah apabila sekumpulan pemimpin yang dike­tuai oleh bekas Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu membuat keputusan me­ninggalkan Pas dan menubuhkan PAN yang kini menjadi anggota Pakatan Harapan diketuai DAP.