Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, ia susulan penularan video beliau memburuk-burukkan negara dengan menyebarkan kenyataan palsu berunsur fitnah di luar negara ketika memimpin pertubuhan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) tidak lama dulu.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya ucapan Waytha Moorthy dalam video itu berniat menghasut, membangkitkan rasa benci dan menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara.

“Sehingga kini, beliau tidak pernah menarik balik kenyataan itu dan tohmahan jahat yang dilemparkan,” katanya kepada para pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.

Zool Amali bersama kira-kira 10 ahli pergerakan itu membuat laporan kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurutnya, laporan itu dibuat bertujuan meminta polis menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Katanya, kenyataan Moorthy menerusi video selama dua minit 39 saat itu menggambarkan seolah-olah negara menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan kepada kaum dan penganut agama lain. - UTUSAN ONLINE